• JAN
  • 12
Sukarelawan UM Bantu Mangsa Banjir Pantai Timur

KUALA LUMPUR, 12 JANUARI 2017 – Seramai 32 sukarelawan Universiti Malaya (UM) bertolak ke Kelantan pagi ini bagi mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir dan membantu kerja-kerja pembersihan sekolah dan institusi kerajaan yang memerlukan.

Bantuan bernilai RM24,000.00 berupa barangan keperluan harian seperti makanan, minuman dan keperluan harian lain serta sumbangan wang tunai berjaya dikumpul hasil sumbangan warga kampus dan masyarakat tempatan.

Majlis pelepasan misi yang bermula pada 12 – 14 Januari ini disempurnakan oleh YBhg. Profesor. Datuk Dr. Rohana Yusof, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UM yang juga Penasihat Misi Bantuan Banjir UM ke Pantai Timur pagi tadi dengan dihadiri oleh para pegawai HEPA.

Dalam amanat beliau kepada para sukarelawan, Profesor Datuk Dr. Rohana mengingatkan agar mereka dapat berkhidmat dengan ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada masyarakat. Beliau turut berbangga dengan sikap pelajar UM dan misi ini membuktikan bahawa  pelajar UM amat prihatin dengan persekitaran dan keperluan masyarakat.

Pengumpulan sumbangan digerakkan seminggu yang lalu oleh para sukarelawan dengan menubuhkan Bilik Gerakan Pengumpulan Sumbangan di Kompleks Perdanasiswa.

“Setelah pengumpulan bantuan dilancarkan, kami mendapat maklumbalas yang sangat positif daripada warga kampus dan masyarakat tempatan yang sangat prihatin. Kerjasama kolej kediaman, fakulti dan staf serta pelajar sangat kami hargai,” kata En. S.Ramlee Shamsuddin, Penyelaras Misi Bantuan Mangsa Banjir.

Naib Canselor UM, YBhg. Tan Sri Profesor Dr. Mohd Amin Jalaludin turut meluangkan masa melawat bilik gerakan serta memberikan sokongan padu terhadap misi kali ini.

Misi Bantuan Banjir UM ke Pantai Timur pada kali ini diselaraskan oleh Unit kesukarelawanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni, UM dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM) dan Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM).

Pengerusi Jawatankuasa Misi Banjir, Tn Hj Yusof Harun yang juga merupakan Timbalan Pendaftar, HEPA, berkata “bantuan ini bertujuan meringankan beban mangsa banjir yang terjejas akibat kehilangan mata pencarian semasa banjir melanda dan sumbangan ini sedikit sebanyak membantu mereka. “

“Misi kali ini juga melibatkan sukarelawan pelajar untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada mereka berkaitan kerja lapangan kesukarelaan, membantu komuniti yang memerlukan dan prihatin dengan kesusahan yang dihadapi oleh masyarakat. Pada masa yang sama, pelajar memperoleh kemahiran merancang, mengorganisasi, memimpin dan bekerja dalam pasukan untuk mencapai objektif misi,” tambah beliau.

Seramai 40 orang pelajar dan staf UM di Kampus Nilam Puri, Kelantan akan turut serta dalam misi kali ini untuk kerja-kerja pengagihan bantuan kepada mangsa banjir dan kerja pembersihan sekolah dan masjid di Rantau Panjang.























Viewed : 6123 Last Update: January 11, 2017